Monday, March 10, 2014

SEBUAH ANALOGI : PERJUANGAN ITU KAPAL TERBANG


SEBUAH ANALOGI : PERJUANGAN ITU KAPAL TERBANG


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..


Ini sekadar coretan analogi yang aku terfikir semasa di lapangan terbang tempoh hari. Lama sudah namun baru ada kerajinan untuk menulis. Analogi sebenarnya tidak akan mampu untuk memberi gambaran menyeluruh terhadap perkara yang dianalogikan. 

Contoh ; ramai menyamakan bahawa hidup ini boleh diibaratkan seperi roda kadang2 di atas dan kadang-kadang di bawah. Namun, manusia apabila telah terjatuh ke bawah seperti seorang jutawan yang muflis bukan mudah untuk dia naik mencapai semula gelaran jutawan. Berlainan dengan roda yang kelajuan untuk sesuatu titik di bahagian bawah roda naik ke atas adalah sama dengan kelajuan titik di atas turun ke bawah.

Memang analogi boleh dipertikai malah untuk memberi pemahaman pun bukanlah secara menyuluruh dan mendalam. Hanya gambaran asas secara "surface" bolehlah bagi membantu pemahaman. Maka, mohon jangan dikutuk analogi ini, sekadar cebisan pandangan peribadi 

Petugas-petugas di lapangan terbang
1. Di bahagian lapangan mendarat kapal terbang, banyak pekerja di situ daripada tukang sapu sampah dilapangan sehinggalah kapten yang mengemudi si kapal gergasi. Semuanya mempunyai peranan dan kepentingan masing-masing tanpa terkecuali. Walau hanya seorang pemunggah barang tidak hadir pada hari itu, pengurusan di lapangan pastinya akan tergendala dan bercelaru walaupun sedikit.


Begitu juga dakwah, dalam lapangannya kita bukan hanya perlu mereka yang bersifat sang wali. Namun kita juga perlu pemimpin lagak sahabatnya, Ali. Sama juga dalam usrah, kita perlu mereka yang serius mengatur perjuangan, namun sahabat yang suka berjenaka penceria suasana tidak terkurang pentingnya. Kurang seorang pasti merosak suasana.



2. Untuk membawa sesuatu barangan atau 'luggage' ke atas kapal terbang bukan mudah, kita perlu melepasi check in counter, mesin x-ray barangan dan juga penimbang untuk memastikan barangan yang dibawa benar-benar selamat dan mengikut kriteria dan prasyarat yang ditetapkan.

Dalam perjalanan mentarbiyyah diri bagi menjejak medan dakwah, kita juga begitu. Allah pasti akan menyediakan pelbagai ujian untuk memastikan hati dan jiwa kita benar-benar bersedia untuk ke sana. Hati-hati yang masih terselit picisan jahiliyyah akan mengalami masalah dan perumitan yang akan melambatkan proses tarbiyyah diri. Akibatnya, mad'u kita nanti juga akan menerima akibat kelemahan tarbiyyah dan kurangnya rabbaniah dalam diri sang dai'e.
Maka, sebelum ingin menyediakan mereka. Adakah kita cukup bersedia? >,<




3. Ketika kapal terbang berlepas, telinga akan bingit dan terasa sakit. Namun, sakit telinga yang sebentar itu akan dilupakan apabila kita asyik menikmati keseronokan tiba di destinasi yang kita tujui.

Begitu juga dakwah dan perjuangan, kita pasti akan terasa sakit dan banyak yang harus kita korbankan demi mencapai matlamat dakwah itu sendiri. Namun, apabila sampai ke destinasi kelak pasti kesakitan yang sementara itu akan membuatkan kita berasa betapa sikitnya sakit yang ditanggung dahulu berbanding nikmat kemenangan yang dicapai sekarang.



4. Bagi kita yang berada di dalam kapal terbang kita asyik menikmati keindahan pemandangan alam dari tingkap kapal terbang dan kita juga sudah lali dengan bingitnya telinga ketika di dalam kapal terbang itu. Namun bagi mereka yang tidak pernah menaiki kapal terbang, mereka akan berfikir tentang bingitnya telinga di atas sana dan kerisauan mereka jikalau kapal terbang itu kemalangan.

Begitu juga dengan perjuangan, bagi mereka yang sudah berkecimpung dalam arena ini akan merasakan bahawa terdapatnya kemanisan dalam ujian perjuangan. Kehadiran sahabat dan ikhwah dan disertai harapan maghrifatullah ke atas diri kita lah yang memaniskan perjuangan yang terkadang perit untuk ditelan seorang diri. Walau ada yang melahirkan rasa aneh atas kecekalan seorang dai'e dalam perjuangan yang tidak menjanjikan keuntungan lahiriah, inilah kekuatan dan kemanisan kita. Manisnya mampu mengurangkan perit dalam cabaran dakwah. InsyaAllah.


Guider ketika kapal terbang mendarat di lapangan terbang


5. Di dalam sebuah kapal terbang, ia pasti dipandu oleh seorang pilot berwibawa yang telah menjalani latihan ribuan jam. Lebih-lebih lagi jika kapal terbang yang dibawanya itu Boeing 777, canggih dan hebat. Pilot itu lah yang bertungkus lumus menghabiskan buku-buku manual dan arahan pemanduan kapal terbang yang lengkap mengenai bidang itu. Dan sudah pasti dia belajar berguru dengan mereka yang sudah punya pengalaman bertahun-tahun. Jika belajar sendiri, jaminan bahawa kapal terbang yang dibawanya itu akan menjunam ke darat atau lautan hampir 100%. Tanpa kehadiran kapten yang berilmu, berkepimpinan dan berkemahiran mengepalai kapal terbang tersebut, sudah pasti kapal terbang itu akan terbang tanpa hala tuju yang jelas sementara menunggu masa terhempas dan mengorbankan ribuan nyawa.

Begitu juga para naqib dan dai'e, bagi menguruskan dan 'handle' ahli usrah dan mad'u mereka perlu menyiapkan diri sesiap-siapnya agar siaga tatkala terpaksa melakukan pendaratan kecemasan. Apatah lagi jika usrah atau liqa' yang mereka 'handle' itu adalah liqa kepimpinan yang bercita-cita menyediakan pemimpin segak impian daulah dan ummah. Al-quran dan sunnah sudah pasti menjadi pegangan, cuma dipermudahkan dengan kehadiran hasil nukilan mereka-mereka yang hebat seperti Fathi Yakan, Imam Hasan Al-Banna dan ramai lagi. Penting juga bagi mereka yang bergelar dai'e dan naqib untuk menuntut ilmu dengan berguru dan dari pengalaman mereka yang lebih senior agar kapal bawaannya nanti tidaklah dipandu mengikut selera nafsu dan kehendak di bawah kononnya bayangan agama. Pentingnya naqib mahupun amir dalam sesebuah organisasi dakwah begitu juga malah lebih lagi, supaya wujudnya matlamat yang jelas dan hala tuju yang bertepatan dengan syiar Islam. Jika tidak, organisasi tersebut mahupun sekadar organisasi Badan Dakwah dan Rohani di sekolah, sudah pasti ahlinya sekadar berlegar di ruang udara khayalan sendiri sebelum jiwa2 yang bersemangat ini juga turut terkorban dan mati jika tidak diselamatkan.



6. Jika berlaku kerosakan pada kapal terbang seperti enjin sebelah kanan sayapnya gagal berfungsi, penumpang seharusnya bertenang dan mengikut arahan krew kapal, membantu jika perlu. Namun, jika ada yang menggelabah dan terburu-buru lantas merasakan lebih selamat dan tenang sekiranya mereka terjun terus keluar. Ya, dia mungkin berfikir akan tenang dengan awan-awan dan langit biru yang memutih. Namun itu sementara, kerana kelak dia akan mengalami masalah pernafasan jika kapal terbang tersebut berada di altitud yang tinggi yang tidak memungkinkan manusia benafas seperti biasa. Bagaimana pula sekiranya hampir ke darat nanti, bagaimana dia akan mendarat dengan selamat?

Begitulah dakwah dan perjuangan, jika ada lopaknya di sana sini. Lemahnya ikhwah ketika berjuang dalam dakwah. Melarikan diri jauh dari tarbiyyah dan dakwah bukanlah penyelesaian. Alasannya mahu berdakwah sendiri dan mahukan ketenangan berbanding keserabutan di dalam dakwah berorganisasi. Adakah mampu kita mencapai matlamat dakwah jika berseorangan? Kuatkah kita? Jika kuat, berapa lama? Sedangkan nabi pun berdakwah dengan bantuan para sahabat. Sangkaan tenang itu hanya sementara, sebelum jiwa dan semangat perjuangan memudar lemah dan akhirnya tewas dengan permintaan nafsu dan helah dunia. Seharusnya bersabar dan tenang, membantu dengan memberi cadangan dan berdiskusi. Itu lebih baik di sisi Allah, insyaAllah.



Rasanya setakat itu sahaja untuk entri kali ini. Segala ilham yang baik dan bernas itu semata-mata daripada Allah manakala yang lemah itu atas kecetekan ilmu dan akhlak sendiri. Wallahua'lam.

P/s: sebarang komen mahupun cadangan amat dialukan. 
^__^ senyom sokmo!!


Islahul Muslim -10.22a.m 10/3/13-